Rabu, 25 Jamadilawal 1446H bersamaan 27 November 2024M
Sejumlah 502 unit rumah jenis teres di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) Kampung Lugu telah diundikan pada hari Selasa dan Rabu, 26 dan 27 November 2024 kepada pemohon-pemohon yang layak mengikuti skim berkenaan.
Majlis Pengundian telah diadakan di Dewan Muhibbah, Berakas. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Yang Mulia Dayang Rosniza binti Dato Paduka Haji Hamdani.
Sebelum Majlis Pengundian pada hari tersebut, para pemohon telah menghadiri sesi taklimat yang diadakan pada 14, 16 dan 20 November 2024 bagi mendengar penerangan mengenai peraturan dan syarat mengikuti SPN, tatacara pembayaran balik pinjaman perumahan, tatacara penyambungan bekalan air dan elektrik dan juga tatacara menghadapkan permohonan tambah ubahsuai rumah serta beberapa penerangan lainnya yang disampaikan oleh wakil daripada Jabatan Kemajuan Perumahan dan wakil daripada Jabatan-Jabatan serta agensi yang berkenaan.
Majlis Pengundian juga diselajurkan dengan penandatanganan Perjanjian Pajakan Bagi Mengikuti Skim Perumahan Negara dan penyerahan kunci-kunci rumah.